Jie Jie's Fotopage

By: jie jie

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 24-May-2011 05:46 Email | Share | Bookmark
HERBA KHAZANAH WARISAN 59

 
 
Salam semua

Cukup seronok bila pokok mulberry sudah keluarkan hasil yang pertama. Bukan main teruja jugak waktu balik kampung, ada bekalkan beberapa batang pokok mulberry. sampai rumah, akak cucuk di tempat yang sedikit basah dan lembab. Tunggu punya tunggu tak jgk keluarkan tunas.

Balik kampung lagi, ambil lagi beberapa ranting pokok. segan jgk bila minta dengan sedara batang pokok ni. Tapi dek kerana cukup teringin untuk menanamnya, malu tu tolak tepi. Lagi sekali akak cucuk kat tempat yang lembab itu. Satu ranting yang kecil akak cucukkan di dalam pasu. Lagi sekali ranting yang di tempat basah kering begitu aje. Cukup frust. Satu pagi singgah di nurseri. Akak terpandang pokok mulberi. Terus akak beli tak kiralah berapa harganya. Akak alihkan ke dalam pasu. Sekarang ni dah lebat buahnya. Cukup seronok. Bila akak beli pokok tu, esoknya akak teringat ranting yang dicucuk di dalam pasu. Rupanya dia keluarkan pucuk dan hidup cantik. Sebenarnya akak dah lupa ranting tu di dalam pasu: itupun pasu tu dah ada pokok besar. Jadi tak perasan. Bila dah beli baru teringat balik pokok tu. Sekarang dah ade dua pokok mulberry. nanti bila dah besar pokok2 tu.. akak nak biakkan banyak2.. kalu ade nk benihnya bolehlah hubungi akak... hi hi hi hi



buah pertama

Nak tau sebab apa akak nakkan sangat pokok mulberry ni?

1. Akak suka tanam pokok2 yang jarang didapati
2. Dulu pernah makan buahnya.. cukup sedap..manisssss
3. Sekarang ni akak dah tahu khasiatnya. Amat baik kalau setiap rumah ditanam pokok mulberri ni.

Khasiat Pokok Mulberri

Mulberry merupakan tumbuhan asli di bahagian tengah dan timur China. Dikenali dengan nama botaninya, Morus Alba, pokok mulberi yang ditanam di negara China adalah Mulberry putih. Pokok mulberi lain yang menghasilkan buah berwarna hitam dan merah pula banyak ditanam di negara-negara beriklim tropika dan sub-tropika.

Salah satu kegunaan bahagian pokok Mulberry, terutama daunnya adalah sebagai makanan utama ulat sutera. Maka disebabkan itulah jika di Malayasia, daun pokok Mulberry dikenali sebagai daun ulat sutera atau besaram.

Buah Mulberry mengandungi asid sitrik, gula dan vitamin C. Daun Mulberry pula mengandungi adenin, amilas, asid suksinik, karotena dan kolin. Biji Mulberry mengandungi ureas. Manakala kulit akar pokok mulberi mengandungi beta-amirin, minyak meruap, resinotanol dan sitosterol.

Bagi masyarakat di negara China, selain buahnya boleh dimakan segar atau dibuat jem, terdapat juga kegunaan lain. Secara tradisionalnya, buah Mulberry telah digunakan sebagai agen ubatan bagi memberi khasiat kepada yin dan darah, memberi kebaikan kepada buah pinggang dan merawat masalah lemah, keletihan, anemia dan masalah rambut beruban.

Kuatkan sistem cerna dan serapan

Buah Mulberry turut digunakan untuk merawat masalah ketidak-bolehan mengawal keluarnya air kencing, pening dan masalah sembelit warga tua. Disebabkan banyak khasiatnya, maka jus Mulberry telah dihasilkan secara komersial sebagai makanan kesihatan dan amat popular di China, Jepun dan Korea. Bukan itu sahaja, buah yang telah dikeringkan juga boleh dijadikan sebagai pengganti raisin.

Buah Mulberry juga dikatakan mampu memberi khasiat dan merangsang penghasilan cecair badan. Mereka yang mengalami masalah kekurangan cecair, mulut mereka agak kering dan lidah terasa panas. Elok juga mereka makan buah ini bagi memberi khasiat dan menambahkan cecair badan. Mereka yang mengalami masalah mata kering akibat keletihan mata dan akibat bekerja boleh juga mengambil jus mulberi bagi menambahkan cecair badan dan menguatkan penglihatan.




Buah Mulberry juga mengandungi unsur-unsur khasiat seperti mineral dan vitamin. Dikatakan dengan memakan buah Mulberry, mampu membantu menyembuhkan penyakit kronik pada saluran pencernaan, merangsang rembesan cecair gastrik, menguatkan kebolehan bagi mencerna dan menyerap, memperbaiki selera makan dan membuang kembung perut dan sembelit. Wanita yang mengalami simptom-simptom seperti anemia, kepucatan, rasa pening, sukar untuk tidur dan jantung berdebar-debar dengan kerap terutamanya selepas melahirkan bayi, bolehlah mengambil jus mulberi dengan kerap bagi mengurangkan simptom-simptom tersebut.

Di samping itu buah juga boleh meningkatkan tenaga, mata, minda, mabuk laut, sengal badan, telinga berdesing,sakit pinggang, sakit tekak dan penyubur darah,

Cara Pengambilan: Buah boleh dimakan, di buat jus atau jem. Daun muda boleh dibuat ulam atau sayur. Daun muda atau tua boleh di keringkan untuk dijadikan teh.
Ranting dan akar dikeringkan dan larut dalam air untuk diminum.Ranting digunakan merawat sakit gigi dan cacing

Ubat kebas tangan dan kaki

Daun Mulberry pula dikatakan boleh direbus dan digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Daun yang telah kering pula dikatakan boleh dicampur dengan air mendidih atau direbus. Air ini dikatakan boleh diminum untuk tujuan membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema.

Daun yang telah dipanaskan pula dikatakan boleh disapu minyak dan dijadikan sebagai ubat tampal pada luka yang parah. Bagi mereka yang mengalami masalah gigitan atau sengatan serangga, daun yang telah ditumbuk lumat boleh dijadikan sebagai ubat tampal pada bekas gigitan atau sengatan serangga tersebut. Jika mengalami masalah tangan atau kaki yang kebas, bolehlah mengambil getah daripada daun atau ranting mulberi, kemudiannya gosokkan pada bahagian yang kebas.

Daun Mulberri yang dikeringkan dan dijadikan teh berkhasiat untuk:

1. Penawar dan mencegah penyakit kencing manis (diabetes)

2. Mengawal serta mengurangkan kolesterol dalam pembuluh darah

3. Mengawal serta mengurangkan tekanan darah tinggi

4. Membantu mengelakkan serangan sakit jantung

5. Membantu dalam kehilangan berat badan

6. Mengurangkan keadaan asma yang teruk

7. Melambatkan proses penuaan dan meremajakan kekuatan anda

8. Mengurangkan risiko kerapuhan tulang kerana kandungan kalsium yang
tinggi

9. Meredakan batuk, perasaan cemas dan kegelisahan

10. Mengurangkan kesakitan ketika datang haid

11. Membantu perjalanan haid yang tidak teratur

12. Menambahkan tenaga

13. *Meningkatkan produksi susu badan*

14. Membantu mengurangkan migraine, sukar tidur malam (insomnia) dan
hipertensi

15. Memiliki semua 18 asid amino dan mengandungi vitamin B, B1, B2, C,
asid folik, potassium yang amat diperlukan

16. Membantu, mencegah dan mengurangkan risiko penyakit kanser
(antioksidan)

Satu penemuan yang menakjubkan yang dilakukan oleh para penyelidik di Institut Kebangsaan Sains Agrobiologi, Jepun telah mendapati daun Mulberry mengandungi kompaun DNJ (Deoxynojirimcin) di mana ia dapat mengurangkan kemasukan kadar gula ke dalam saluran darah. Ia mengandungi GABA (Gamma Amino Butyril Acid) yang penting untuk mengawal (control) yang mengawal keseimbangan kolesterol dalam aliran darah. GABA adalah agen penenang alami dan agen anti-epilepsi untuk otak yang dihasilkan daripada asid amino glutamin dan glukosa. Mereka yang sering mengalami perasaan cemas, gangguan panik, dan depresi bermungkinan tidak menghasilkan tahap GABA yang mencukupi yang diperlukan oleh otak.
Oleh itu secara tidak langsung, Teh Daun Mulberry dikatakan boleh membantu menjadi penawar kepada penyakit kencing manis (diabetis) dan tekanan darah tinggi. Teh Daun Mulberry kaya akan mineral dan vitamin seperti kalsium, kalium (potassium), zat besi (ferrous sulfate), zink, vitamin A, B1, B2, C, 18 asid amino, dan flavonoid atau antioksidan yang mencegah risiko kanser.

Akar pokok Mulberry boleh direbus dan dijadikan sebagai air minum bagi merawat asma, batuk, busung, melawaskan pembuangan air kecil dan radang. Air rebusan kulit pokok mulberi pula dikatakan boleh diminum untuk merawat sistem pernafasan, asma, batuk, bronchitis, busung, menyingkirkan kahak dan hingus, tekanan darah tinggi, kebas tangan atau kaki. Ranting kering pokok mulberi pula dikatakan boleh direbus dan dijadikan sebagai air minum bagi merawat demam panas dan mengatasi rasa sakit.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kebaikan Mulberry, perlulah mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.~


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net